Jurulatih Kelab








Jurulatih Kelab Memanah Darulaman


En Mohamad Faiz bin Kasim memulakan perjalanan dalam bidang memanah tradisional apabila mendaftar diri ke kelas memanah tradisional anjuran Sheikh Fuad bin Sheikh Mahmud pada tahun 2011. Pembelajaran beliau dengan Sheikh Fuad adalah dalam aspek panahan, kaedah pengurusan dan pertandingan sehinggalah diberikan amanah dan keizinan untuk menyebarkan ilmu memanah tradisional di negeri Kedah.

Berasal dari Jitra, Kedah, En Mohamad Faiz merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Kimia Industri dari Universiti Tekonologi Malaysia, Johor. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Occupational Safety & Health).

Dengan pengalaman yang ada sebagai Pensyarah, Pegawai Keselamatan dan seterusnya 17 tahun dalam pengurusan persatuan/kelab, beliau telah mencurahkan segala kepakaran dan pengalaman yang ada dalam pembangunan sukan memanah tradisional sehingga ke peringkat akar umbi di Negeri Kedah.

Selaku ketua jurulatih kelab dan minat yang mendalam dalam bidang kejurulatihan, beliau telah banyak melahirkan juara-juara pertandingan, melatih, mendidik dan membentuk barisan jurulatih Kelab, serta melahirkan ramai pembuat anak panah tradisi melalui kelas pembuatan anak panah yang dianjurkan sejak 2016. Beliau juga pernah menyertai pertandingan memanah tradisional antarabangsa yang dianjurkan di Turki (2014), China ( 2017) dan Slovakia (2019) .


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


En Muhammad Zahir bin Abdul Rahman mula memasuki bidang memanah tradisional apabila mendaftar diri ke kelas asas memanah tradisional anjuran En Mohamad Faiz Bin Kasim pada tahun 2013 di Kem Wang Tepus Jitra Kedah. Beliau tamat kelas asas pada tahun 2014 dan terus belajar sehingga saat ini bersama En Mohamad Faiz.

Berasal dari Malau, Kedah, beliau sejak dari bangku sekolah amat meminati bidang memanah dan menunggang kuda. Peluang yang ada tidak dilepaskan untuk menyertai Kelas Memanah Tahap 1 dan 2 serta menyertai Bengkel Jurulatih Memanah Tradisional pada 2015 seterusnya dilantik sebagai Jurulatih Tahap 1 Kelab pada 2016.

Sepanjang tempoh itu, beliau banyak menyertai pertandingan memanah  tradisional yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia dan pencapaian terbaik beliau adalah berada dalam senarai 10 terbaik untuk ke pertandingan Antarbangsa di Turki. Kini beliau dilantik sebagai Jurulatih Tahap 2 kelab , bertanggungjawab mengajar di Kelas Latihan Awam Jitra dan beberapa buah sekolah di daerah Kubang Pasu.

Selain memanah, beliau juga mula belajar menunggang kuda di beberapa tempat di sekitar Kedah dan berharap dapat menguasai ilmu memanah berkuda satu hari ini. Sebelum ini , beliau pernah menceburi sukan  permotoran dan pernah memenangi perlumbaan KBS MAM Kapcai Endurance Peringkat Negeri Kedah di UUM Sintok sebanyak 3 kali dan seterusnya mewakili Negeri Kedah untuk berlumba di Peringkat Kebangsaan di Litar Antarabangsa Sepang SIC . Beliau berada di dalam 10 kedudukan terbaik kebangsaan. 


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


En Muhammad Rubaie bin Abd Rahaim merupakan anak sulung daripada 10 adik beradik kelahiran Klang, Selangor. Beliau yang kini menetap di Jitra, Kedah merupakan seorang lulusan Diploma Rekabentuk Industri (Perabot) UiTM Caw. Alor Gajah, Melaka. Beliau telah menceburi arena sukan memanah tradisional sejak tahun 2013 daripada tuan guru Sheikh Fuad bin Sheikh Mahmud di Bangi, Selangor selama 2 tahun.

Setelah berpindah ke Jitra pada tahun 2015, beliau terus mendalami cabang-cabang ilmu memanah tradisional dengan anak didik tuan gurunya iaitu En Mohamad Faiz bin Kasim sehingga kini. Atas kemahiran yang ditunjukkan, En Muhammad Rubaie telah dilantik sebagai Jurulatih Tahap 1 (2016) dan Jurulatih Tahap 2 (2018). Beliau dipertanggungjawabkan mengendalikan kelas Latihan Awam Alor Setar dan beberapa kelas di sekolah sekitar daerah Alor Setar.

Beliau banyak menyertai pertandingan yang dianjurkan di serata semenanjung Malaysia. Pencapaian terbaik beliau adalah dipilih mewakili Malaysia ke pertandingan memanah tradisional peringkat antarabangsa di China (2017). Beliau juga aktif dalam pergerakan Kadet Remaja Sekolah Musleh dengan pangkatLeftenan KRSM”. Beliau merupakan seorang pegawai yang berkemahiran dalam bidang kawad kaki, tali-temali, pertolongan cemas, CPR, orienteering, kayak dan seni beladiri. Beliau juga aktif menjadi pembantu urusetia, ajk dan fasilitator dalam siri-siri program tahunan anjuran KRSM sejak tahun 2008 sehingga kini.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


En Mohamad Shafini bin Idris lahir di Pulau Pinang kemudian membesar di Sik. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al Azhar, Mesir dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana Kaunseling Islam di Kolej Universiti INSANIAH.

Mula belajar ilmu panahan tradisional pada 2015 anjuran Kelab Memanah Darulaman dengan En Mohamad Faiz dan menamatkan Kelas Memanah Tradisional Tahap 1 pada tahun 2016. Oleh kerana menunjukkan kefahaman, kemahiran dan komitmen yang tinggi, beliau dilantik oleh kelab sebagai Jurulatih Tahap 1 (2017) dan Jurulatih Tahap 2 (2018).

Beliau dipertanggungjawab untuk menyebarluas ilmu panahan tradisional di Kelas Latihan Awam Sik dan mengajar bengkel pengenalan memanah di sekolah sekitar daerah Sik. Pencapaian terbaik beliau ialah kejayaan menganjurkan Pertandingan memanah Tradisional Junior Open 2017 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri & mencatatkan penyertaan tertinggi dalam sejarah iaitu 115 orang penyertaan.

Beliau pernah mewakili kelab ke pemilihan antarabangsa anjuran MALACCA (2016) dan mewakili PEKDIS Kedah di Kejohanan Sukan Guru-guru Agama Peringkat Kebangsaan (2017) di Pulau Pinang.
Berpengalaman sebagai penceramah dan mengajar pelbagai kitab  di surau dan masjid di sekitar daerah Sik termasuk sebagai penceramah Fadilat Memanah untuk Kelab. Beliau juga aktif dalam bidang Silat Olahraga sebagai Wasit/juri Jabatan Pendidikan Negeri dan PESAKA Kedah.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

ADAB, ETIKA DAN KESELAMATAN DI TEMPAT...

SEBAHAGIAN PERKARA ASAS PEMANAH THUMB KENA TAHU

SIJIL PENGIKTIRAFAN